GST perlu dilaksana secara beransur-ansur




charge-gst-construction

GST perlu dilaksana secara beransur-ansur - REHDA

PETALING JAYA, 10 Mac: Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) mencadangkan cukai barang dan perkhidmatan (GST) dilaksanakan secara beransur-ansur kerana ia akan memberi kesan kepada kemampuan pengguna membeli rumah.  

Pengerusi Jawatankuasa Kewangan dan Pelaburannya, Datuk Ng Seing Liong, berkata enam peratus GST, yang akan dilaksanakan mulai 1 April 2015 adalah agak tinggi dan akan membebankan pengguna.
“Margin pemaju juga akan menjadi lebih rendah dengan pelaksanaan GST,” katanya dalam taklimat media mengenai ‘GST – Kesan Ke Atas Industri Perumahan’ di sini hari ini.
Ng berkata, REHDA telah mengemukakan beberapa cadangan mengenai GST kepada kerajaan dan sedang menunggu maklum balas.
“REHDA telah menggesa Kementerian Kewangan memberi pertimbangan serius kepada cadangan terbabit kerana pelaksanaan GST dalam bentuk yang ada sekarang akan menyebabkan beban kewangan, menambah kepada kos pembangunan dan seterusnya kenaikan harga rumah serta akhirnya akan ditanggung pembeli,” kata Ng.
Beliau berkata, REHDA mahu kerajaan memperluaskan barangan dan perkhidmatan berkadar sifar kepada komponen kos utama projek pembangunan hartanah seperti batang keluli, besi, simen, konkrit dan agregat pasir atau menimbangkan bantuan kepada pembekal bagi membantu mereka mengatasi masalah aliran tunai.
“Pembekal terbabit mungkin melepaskan kos dalam bentuk harga yang lebih tinggi,” katanya.
Industri itu juga mahu duti setem ke atas pemindahan hartanah dikekalkan pada kadar maksimum tiga peratus sekarang, bukan empat peratus seperti dicadangkan, katanya.
Ng bekata, pelaksanaan GST akan menambah selapis lagi kos kerana sudah wujud pelbagai ‘cukai’ dikenakan seperti cukai keuntungan hartanah, levi Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan dan cukai perkhidmatan.
Cadangan lain, katanya, ialah membenarkan pemaju menggunakan peruntukan tetap — sama ada keluasan terbina , keluasan tanah (ekar) atau sebarang kaedah (pengasingan antara pembangunan kediaman dan komersil – dalam menuntut baki cukai input.
Untuk perjanjian pembelian tanah yang dilakukan sebelum April 2015, bayaran diterima ke atas invois yang dikeluarkan sebelum tarikh itu tetapi bekalan tanah diperolehi selepas tarikh berkenaan, tidak dimasukkan ke dalam GST, katanya. 

— BERNAMA

0 comments: